Monday 23 April 2012

Kepentingan menuntut ilmu

Ibnu Abbas ra.berkata : Bahawa para ulamak mempunyai darjat-darjat di atas orang-orang mukmin sebanyak 700 darjat, jarak antara dua darjat itu adalah sejauh 500 tahun perjalanan.

Mu'az bin Jabal berkata mengenai pengajaran dan belajar ilmu dan meriwayatkannya secara marfuk:

"Belajarlah ilmu, kerana mempelajari ilmu kerana Allah adalah kebaikan dan menuntut ilmu adalah ibadah, kajiannya adalah seperti tasbih, penyelidikannya seperti jihad, pengajarannya adalah sedekah dan pemberiannya kepada ahliyah adalah pendekatan diri kepada Allah. Ilmu adalah penghibur dikala kesepian, teman diwaktu menyendiri dan petunjuk dikala senang dan susah. Ia adalah pembantu dan teman yang baik dan penerang jalan ke Syurga."

Allah mengangkat darjat orang-orang dengan ilmu, lalu menjadikan mereka dalam kebaikan sebagai pemimpin dan pemberi petunjuk yang diikuti, petunjuk dalam kebaikan, jejak mereka diikuti dan perbuatan-perbuatan mereka diamalkan.

Para malaikat ingin menghiasi mereka dan mengusap mereka dengan sayap-sayap. Setiap benda yang basah dan yang kering bertasbih bagi mereka dan memohon ampun bagi mereka, bahkan ikan-ikan dilautan dan binatang-binatang, haiwan-haiwan buas dan ternakan di darat serta binatang dilangit juga memohon ampun bagi mereka. Sebab ilmu menghidupkan hati dan menerangi pandangan yang gelap serta menguatkan badan yang lemah. Dengan ilmu hamba mencapai kedudukan orang-orang yang soleh serta darjat yang tinggi. Memikirkan ilmu sama dengan puasa dan mengkaji ilmu sama dengan solat malam. Dengan ilmu Allah ditaati dan disembah serta di-Esakan. Dengan ilmu manusia berhati-hati dalam mengamalkan agama dan memelihara hubungan kekeluargaan. Ilmu adalah pemimpin dan amal adalah pengikutnya. Orang yang mendapat ilmu adalah orang yang bahagia dan orang yang tidak mendapatkannya adalah orang yang sengsara.

-Mukhtasar Ihya' Ulumuddin - Imam Al Ghazali

No comments: